KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 disifatkan sebagai penganjuran terbaik setakat ini.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin memaklumkan laporan awal daripada komisar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menunjukkan semua aspek penganjuran berada pada tahap ‘green’ atau memuaskan.
Jelasnya, tiada sebarang isu berbangkit sepanjang penganjuran kali ini, malah semua aspek teknikal dan pengurusan berada pada tahap cemerlang.
"Saya mendapat maklum balas daripada komisar UCI yang memaklumkan bahawa penganjuran kali ini adalah yang terbaik. MSN sentiasa berusaha menganjurkan kejohanan secara teratur, sistematik dan bebas masalah. Kami sangat berpuas hati,"
"Tahun lepas ada dua aspek diberi status ‘yellow’, tapi kali ini semuanya ‘green’ bagaimanapun laporan rasmi penuh akan dikeluarkan UCI dalam tempoh sebulan," katanya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan mandat penganjuran LTdL oleh MSN bermula dari 2023 hingga 2025 akan dibawa semula ke Kabinet untuk kelulusan bagi tempoh tiga tahun seterusnya.
"Siapa yang akan anjur selepas ini, biarlah kabinet yang tentukan. Kita juga perlu mohon lesen penganjuran daripada UCI bagi tiga tahun berikutnya dan permohonan itu akan dihantar sebelum Mac depan," katanya.
Beliau turut memaklumkan, tarikh penganjuran kekal dalam kalendar UCI dan perkara itu telah dipersetujui oleh Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang juga Naib Presiden UCI, Datuk Amarjit Singh Gill.