fb fb fb fb fb

FAM tunggu dokumen penuh keputusan FIFA sebelum mulakan proses rayuan

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Oktober - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu penggantungan tujuh pemain naturalisasi negara.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, proses rayuan hanya dapat dimulakan sebaik sahaja dokumen rasmi keputusan tersebut diterima sepenuhnya daripada FIFA.

Menurut beliau, pasukan guaman FAM telah bersedia untuk mengambil tindakan lanjut sebaik menerima dokumen berkenaan bagi memastikan rayuan dapat dikemukakan dengan lengkap dan berasaskan bukti kukuh.

“Apabila keputusan penuh diterima, pasukan guaman FAM akan segera mengemukakan rayuan bersama dokumen sokongan yang kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

FIFA sebelum ini mengenakan penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain naturalisasi Malaysia selepas didakwa menggunakan dokumen yang dipalsukan dalam proses pendaftaran antarabangsa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE