MADRID, 6 Oktober – Pemain tengah Manchester City, Rodri Hernandez, disahkan tidak akan bersama skuad kebangsaan Sepanyol bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026 selepas mengalami kecederaan hamstring.
Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) berkata Rodri digugurkan daripada senarai pemain menjelang dua perlawanan menentang Georgia pada 11 Oktober dan Bulgaria pada 14 Oktober.
Pemain berusia 29 tahun itu dikeluarkan seawal minit ke-21 ketika membantu City menewaskan Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu, selepas berasa tidak selesa di bahagian hamstring.
Rodri sebelum ini menjadi tonggak utama kejayaan Sepanyol menjuarai Euro 2024, namun pernah mengalami kecederaan lutut serius tahun lalu yang menyebabkannya berehat panjang.
Setakat ini, skuad kendalian Luis de la Fuente belum mengumumkan pengganti Rodri, namun beliau telah memanggil penyerang Celta Vigo, Borja Iglesias, bagi menggantikan bintang muda Barcelona, Lamine Yamal, yang turut mengalami kecederaan. - AFP
