LANGKAWI, 24 Sept- 19 jalan utama di Langkawi akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan kepada acara berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) yang akan membuka tirai pada 28 September ini.
Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Padang Wahid, Jalan Lencongan Putra 1, Jalan Penarak, Jalan Ayer Hangat, Jalan Pantai Kok dan Jalan Kuala Teriang.
Selain itu, Jalan Nyior Chabang, Jalan Ulu Melaka, Jalan Makam Mahsuri, Jalan Mata Air, Jalan Padang Matsirat, Jalan Lapangan Terbang, Jalan Kuala Muda dan Jalan Bohor Tempoyak turut ditutup secara berperingkat.
Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) LTDL 2025, Emir Abdul Jalal, penutupan laluan utama itu bagi memastikan keselamatan pelumba dan orang awam sepanjang perlumbaan berlangsung sekali gus memberi kelancaran pada kejohanan bertaraf dunia itu.
Jelasnya, jalan terlibat akan ditutup secara berperingkat mengikut masa yang ditetapkan menerusi jadual perlumbaan di laman web rasmi LTdL 2025.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt. Samsulmuddin Sulaiman berkata seramai 300 anggota dan pegawai PDRM dari Bukit Aman dan IPD Langkawi akan ditugaskan untuk mengawal lalu lintas.
Orang ramai diminta memberi kerjasama serta mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang kejohanan berlangsung.