fb fb fb fb fb

Hakim Danish bakal beraksi pada Moto3 GP Malaysia

Foto FB Hakim Danish

KUALA LUMPUR, 24 Sept- Peminat sukan permotoran negara bakal menyaksikan kelibat pelumba muda Muhammad Hakim Danish Ramli yang membuat penampilan sulungnya pada Grand Prix Motosikal Malaysia (GP Malaysia) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 24 hingga 26 Okt ini.

Pelumba berusia 18 tahun itu diberikan tiket peluang khas (wildcard) bersaing dalam kelas Moto3, yang menjadi detik bersejarah dalam kariernya apabila berpeluang beraksi bersama pelumba terbaik dunia di hadapan ribuan peminat tanah air.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata kejayaan dicapai Hakim Danish telah membuktikan keberkesanan pelan pembangunan sukan permotoran (MDEV), menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu itu berkembang daripada akar umbi hingga berjaya menempatkan diri di pentas dunia.

“Danish benar-benar layak menerima tiket wildcard. Ia bukan sekadar perlumbaan, sebaliknya membuktikan beliau tanpa ragu antara bakat terbaik Malaysia bagi generasinya.

“Saya mahu mengajak seluruh peminat sukan permotoran untuk datang ke Sepang, penuhkan tempat duduk utama dan bersama-sama kita memberikan sokongan padu kepada juara masa depan kita di GP Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Sementara itu menurut SIC, perkembangan positif Hakim Danish mencerminkan kerjasama antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta SIC dalam melahirkan juara melalui program pembangunan yang jelas, bermula dari peringkat akar umbi hingga ke pentas dunia.

“Kejayaannya bukan sahaja menjadi simbol harapan bahawa beliau berpotensi muncul Juara Dunia pertama Malaysia suatu hari nanti, malah turut menjadi sumber inspirasi kepada generasi pelumba masa depan,” menurut SIC.

Perjalanan karier Hakim Danish luar biasa bermula dengan kejohanan SIC MiniGP sebelum melonjak ke Asia Talent Cup, European Talent Cup, Red Bull MotoGP Rookies Cup dan Kejohanan Dunia FIM JuniorGP.

Hakim Danish baru-baru ini mencipta sejarah apabila menjadi pelumba Malaysia pertama menamatkan saingan keseluruhan dalam kelompok tiga terbaik dalam kempen RBRC 2025.

Beliau menamatkan musim sulungnya pada 2023 di kedudukan ke-12 sebelum memperbaiki pencapaian di tempat keenam tahun lepas.

Tiket GP Malaysia 2025 dijual di www.sepangcircuit.com, dan SIC meneruskan inisiatif Tiket Rahmah selaras dengan agenda Malaysia MADANI, menawarkan tiket K2 Hillsatnd pada harga RM49.90. -BERNAMA

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello