fb fb fb fb fb

Liverpool perkukuh kedudukan di carta Liga Perdana Inggeris, benam City 2-0

Foto AFP

LONDON, 2 Disember- Liverpool memperkukuh kedudukan ditakhta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menumpaskan Manchester City 2-0 di Anfield, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad The Reds kini selesa dengan kelebihan sembilan mata di depan Arsenal yang ditangga kedua.

Pasukan kendalian Arne Slot bermula baik apabila mendahului 1-0 pada babak pertama hasil jaringan Cody Gakpo pada minit ke-12.

Di babak kedua, derita Manchester City ditambah oleh penalti yang disempurnakan Mohamed Salah pada minit ke-78 untuk keputusan 2-0 hingga tamat perlawanan.

Manchester City kini menghuni tangga kelima selepas empat kekalahan berturut-turut dalam saingan liga.

Sementara itu, pengendali Manchester United, Ruben Amorim turut melakar kemenangan pertama dalam saingan liga selepas mengambil alih tugas mengendali Manchester United.

The Red Devils membenam Everton 4-0 dalam aksi di Old Trafford.

Marcus Rashford dan Joshua Zirkzee masing-masing menyumbat dua gol.

Dalam pada itu, gol daripada Nicolas Jackson, Enzo Fernandez dan Cole Palmer membantu Chelsea menang 3-0 di laman sendiri ke atas Aston Villa.

Kemenangan itu melonjak mereka ke tangga ketiga, berkongsi 25 mata dengan Arsenal yang ditangga kedua Liga.

Tottenham Hotspur pula hanya mampu seri 1-1 dengan Fulham dalam aksi di laman sendiri, malam tadi.

Tuan rumah mendahului melalui gol Brennan Johnson pada minit ke-54.

Bagaimanapun Fulham berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Tom Cairney pada minit ke-67 dan kedudukan kekal hingga tamat perlawanan.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM