fb fb fb fb fb

Piala Malaysia: Selangor gagal mara ke suku akhir

Foto FB MFL

PETALING JAYA, 2 Disember- Skuad Gergasi Merah tersingkir dalam saingan memburu slot ke suku akhir selepas tumpas 1-2 kepada Sri Pahang FC pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Keputusan itu, menyaksikan skuad Tok Gajah mara dengan agregat 3-2, selepas masing-masing terikat satu sama dalam perlawanan pertama.

Pasukan pelawat membuka tirai jaringan, menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Manuel Hidalgo pada minit ke-25, untuk kedudukan 0-1 pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah yang dibimbing pengendali baharu Katsuhito Kinoshi, memperkemas permainan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan, pada minit ke-78 melalui jaringan Muhammad Safuwan Baharudin.

Bagaimanapun, kegembiraan tuan rumah hanya seketika apabila Sri Pahang sekali lagi di hadapan selepas Sergio Aguero menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84.

Selangor gagal menyamakan kedudukan untuk menghidupkan peluang ke suku akhir dan perlawanan berakhir dengan keputusan 1-2.

Sri Pahang akan berdepan Perak FC dalam pusingan suku akhir, dengan perlawanan timbal balik dijadualkan 15 dan 22 Disember ini.

Sementara itu, jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad bersyukur pasukannya berjaya mara ke suku akhir.

Beliau turut memuji semangat juang anak-anak buahnya dalam menghadapi Selangor FC yang mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri.

"Strategi kita memang "shoot and counter" kerana mereka mempunyai kualiti, jauh lebih baik dari kita. Kita tidak boleh main terbuka. Kita pun ada masalah seperti tiada tempat latihan. Bila datang sini, baru dapat padang. Maka, kelebihan kita adalah semangat berjuang dan bersatu," kata Fandi.

Dalam pada itu, pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi akur dengan kekalahan itu walaupun mengakui telah membuat persiapan rapi.

Beliau juga tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kekalahan tipis yang dialami.

"Apa yang kita boleh lakukan adalah belajar sesuatu daripada dua perlawanan ini. Selepas ini, ada perlawanan di Manila, Filipina menentang Cebu FC. Meski saya tidak mampu untuk memberi kemenangan kepada penyokong, percayalah ini bukan pengakhiran dan ini tidak mengecewakan," kata Katsuhito dalam sidang media.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM