MUNICH, 3 Disember- Penyerang Bayern Munich, Harry Kane disahkan mengalami koyakan otot hamstring dan tidak akan beraksi buat sementara waktu, menurut kenyataan kelab itu pada Ahad.
Kane, 31, dikeluarkan pada minit ke-33 ketika perlawanan yang berakhir seri 1-1 menentang Borussia Dortmund pada Sabtu.
Kecederaan itu juga menyebabkan kapten pasukan England tersebut terlepas perlawanan pusingan 16 Piala Jerman di laman sendiri menentang Bayer Leverkusen pada Selasa.
"Harry Kane mengalami koyakan kecil pada otot di belakang paha kanan.
"Kelab perlu beraksi tanpa Kane buat sementara waktu," jelas kenyataan Bayern.
Menurut laporan akhbar Bild, Kane dijangka berehat selama dua minggu dan Bayern masih mempunyai lima lagi perlawanan pada tahun 2024.
Selepas perlawanan menentang Leverkusen, Bayern dijadualkan bertemu Heidenheim, Shakhtar Donetsk di Gelsenkirchen, Mainz dalam saingan Bundesliga dan menutup aksi tahun ini berdepan RB Leipzig.
Sejak berpindah ke Bayern pada musim panas 2023, Kane hanya terlepas dua perlawanan akibat kecederaan belakang pada penghujung musim 2023-24.
Kane telah menjaringkan 20 gol dalam 19 perlawanan bagi semua kejohanan untuk Bayern musim ini.
Walaupun seri pada Sabtu, Bayern kekal mendahului Bundesliga dengan kelebihan tujuh mata.
Dalam saingan Liga Juara-Juara, juara enam kali itu kini berada di tangga ke-13 selepas lima perlawanan, dengan tiga kemenangan dan dua kekalahan.- AFP