LIVERPOOL, 14 Ogos- Liverpool tidak teragak-agak untuk melakukan rombakan besar terhadap skuad kendalian Arne Slot bagi membuka era dominasi baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).
Selain mengekalkan tonggak berpengalaman, Virgil van Dijk dan Mohamed Salah dengan kontrak baharu, The Reds turut berbelanja besar sebanyak £260 juta (AS$350 juta) dan dilaporkan masih belum menutup pintu perpindahan pemain.
Dua bakat muda berpotensi tinggi dari Bundesliga, Florian Wirtz dan Hugo Ekitike, menyertai Anfield bagi menambah kreativiti dan ketajaman di jentera serangan.
Jeremie Frimpong turut dibawa masuk dari Jerman bagi menggalas cabaran menggantikan Trent Alexander-Arnold di posisi pertahanan kanan manakala Milos Kerkez dari Bournemouth disasarkan sebagai pengganti jangka panjang Andy Robertson di pertahanan kiri.
Barisan pertahanan juga bakal diperkukuh dengan kelab hampir memuktamadkan pembelian kapten Crystal Palace, Marc Guehi serta pertahanan tengah muda Itali berusia 18 tahun, Giovanni Leoni dari Parma.
Namun, tumpuan jendela perpindahan musim panas ini adalah kemungkinan pembelian penyerang Newcastle, Alexander Isak pada harga melebihi £115 juta, yang akan memecah rekod perpindahan pemain di Britain.
Musim lalu, Liverpool merupakan antara kelab paling rendah perbelanjaan dalam Liga Perdana, namun Slot tetap berjaya melaksanakan peralihan daripada era Jurgen Klopp dengan cemerlang.
Kali ini, pelaburan besar itu dimungkinkan hasil strategi jualan pemain yang efisien, dengan perpindahan keluar Luis Diaz, Darwin Nunez, Jarell Quansah, Caoimhin Kelleher, Alexander-Arnold dan Tyler Morton yang meraih sekitar £200 juta. -AFP