KUALA NERUS, 14 Ogos- Kesilapan mudah, punca Terengganu FC (TFC) terpaksa mengerah keringat untuk kembali bangkit pada perlawanan menentang PDRM FC, malam tadi.
Aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu menyaksikan skuad Sang Penyu ketinggalan 0-2, sebelum berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada separuh masa kedua.
Ketua Jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali mengakui beliau kurang berpuas hati dengan keputusan tersebut, termasuk rentak permainan yang perlahan ditunjukkan anak-anak buahnya.
“10 minit pertama, rentak permainan kami terlalu perlahan. Apabila PDRM menjaringkan gol, barulah kami cuba bangkit dan berusaha mendapatkan jaringan. Reaksi kami agak lewat. Apa pun, tahniah kepada semua pemain pada malam ini kerana bukan mudah berdepan PDRM.
Mereka menjaringkan dua gol dan kami berjaya bangkit menyamakan kedudukan 2-22. Alhamdulillah, sekali lagi tahniah kepada para pemain,” kata Badrul Afzan kepada pemberita selepas perlawanan.
Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil @ Edwin berkata skuad The Cops akur terlepas peluang untuk membawa pulang tiga mata penuh dalam aksi berkenaan bagaimanapun memuji usaha gigih anak-anak buahnya yang berjaya menterjemah taktikal mengikut perancangan.
“Kami mendahului 2-0, tetapi saya harus akui kematangan pemain-pemain kami dalam mempertahankan kelebihan dua gol tersebut. Saya percaya bukan mudah untuk datang ke sini dan beraksi.
Namun, saya perlu memberikan kredit kepada para pemain kerana apa yang kami rancang dan susun untuk perlawanan ini berjaya dilaksanakan," kata Eddy Gapil kepada pemberita.