LABUAN, 26 April- Edisi ke-27 Cabaran Sukan Laut Antarabangsa Labuan (LISC) 2025 berlangsung meriah di perkarangan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.
Acara kali ini menampilkan pelbagai pertandingan utama seperti kayak mini marathon, memancing pesisir pantai, bola tampar pantai, tarik tali dan sukan rakyat.
Pertandingan memancing pesisir pantai menarik penyertaan hampir 300 peserta, dengan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM13,700 menjadi rebutan.
Kayak Mini Marathon sejauh tujuh kilometer pula menawarkan hadiah berjumlah RM14,200 dan disertai peserta dari Brunei Darussalam, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Labuan.
Keseluruhan acara sukan turut menawarkan hadiah wang tunai kepada para pemenang.
Selain penyertaan tempatan, LISC 2025 turut menyaksikan kehadiran peserta antarabangsa dari Brunei Darussalam, Hong Kong, Filipina, Singapura, Indonesia, Brazil dan Amerika Syarikat.
Majlis penutupan dijadual berlangsung esok di Plaza Berpayung, Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.