RIYADH, 26 April-Juara empat kali, Al Hilal menempah tempat ke separuh akhir Liga Juara AFC Elite pada Jumaat selepas membelasah kelab Korea Selatan, Gwangju 7-0 dalam aksi suku akhir di Bandar Sukan Raja Abdullah.
Juara Arab Saudi itu,mendominasi permainan di hadapan penyokong sendiri, dengan Pemain Terbaik Asia 2022, Salem Al-Dawsari muncul sebagai tonggak utama kejayaan.
Mereka hanya memerlukan enam minit untuk membuka jaringan apabila bekas pemain tengah Lazio, Sergej Milinkovic-Savic menanduk masuk sepakan sudut Al-Dawsari.
Al Hilal menggandakan kelebihan pada minit ke-25 apabila pemain sayap Brazil, Malcom melakukan hantaran lintang untuk rakan senegaranya, Marcos Leonardo yang kemudian menyudahkannya dengan tenang menewaskan Kim Kyeong-Min.
Lapan minit kemudian, Leonardo pula menghantar bola kepada Al-Dawsari, yang kemudian meluru ke hadapan dan merembat rendah untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Gol itu menjadikan Al-Dawsari kini mencatat sembilan gol dalam kejohanan musim ini, sekali gus berkongsi kedudukan penjaring terbanyak bersama pemain sayap Gwangju dari Albania, Jasir Asani.
Satu-satunya berita kurang menggembirakan buat Al Hilal ialah apabila Joao Cancelo, pemenang treble bersama Manchester City, terpaksa dikeluarkan sebelum tamat separuh masa pertama akibat kecederaan hamstring.
Al Hilal tidak mengendurkan serangan selepas rehat. Aleksander Mitrovic menambah jaringan keempat pada minit ke-55 selepas menyudahkan hantaran lintang Milinkovic-Savic dengan kemas.
Penyerang Serbia itu, yang terlepas sebahagian besar musim ini kerana kecederaan, mempamerkan ketajaman penyudah untuk terus menghukum benteng Gwangju.
Berbaki 12 minit, Malcom dan Mitrovic melakukan permainan satu-dua sebelum Malcom menewaskan penjaga gol Gwangju bagi gol kelima.
Pemain gantian, Nasser Al-Dawsari meledak gol keenam dengan rembatan yang terkena pertahanan dan menewaskan penjaga gol.
Abdullah Al-Hamdan kemudian melengkapkan pesta jaringan Al Hilal menerusi rembatan dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran daripada Mitrovic.
Dalam aksi separuh akhir Selasa ini, Al Hilal bakal menentang pemenang perlawanan antara rakan senegara Al Ahli dan kelab Thailand, Buriram United.
Kedua-dua pasukan akan bertemu pada Sabtu di lokasi sama.-AFP.