KUALA LUMPUR, 26 April- Beberapa laluan di sekitar Stadium Bukit Jalil akan ditutup dan dilencongkan bermula pukul 2 petang ini bagi memberikan laluan kepada perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-2025 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC yang dijadualkan malam ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL), Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Zamzuri Mohd Isa, dalam kenyataannya memaklumkan, penutupan dan lencongan jalan-jalan tersebut akan dilakukan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran trafik dan keselamatan semua pengguna jalan raya, terutamanya penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan.
"Jalan yang terlibat dalam penutupan dan lencongan termasuklah susur Lebuhraya Shah Alam (KESAS) ke lampu isyarat SUKOM, lampu isyarat SUKOM ke arah Jalan Merah Cagar, serta beberapa laluan lain di sekitar Jalan Barat dan Lebuhraya KESAS," katanya.
Menurut beliau, seramai 180 pegawai dan anggota trafik akan ditempatkan di lokasi-lokasi terlibat bermula dari pukul 10 pagi untuk memantau keadaan dan melaksanakan penutupan serta lencongan jalan-jalan terbabit.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan papan tanda dan pegawai trafik yang berada di lokasi. Kami juga menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” tambahnya.
Bagi mereka yang memerlukan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPTKL di talian 03-20260267/0269, atau mana-mana balai polis terdekat.