KOTA KINABALU, 21 Disember - Sabah FC gagal memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri selepas tunduk 1-3 kepada DPMM FC pada perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Likas, malam tadi.
Pasukan dari Brunei itu meneruskan momentum positif dengan membuka tirai jaringan pada minit ke-20 apabila penyerang DPMM FC, Muhammad Ramadhan Sananta membuat larian pantas menyambut tandukan Jordan Murray menerusi serangan balas dan berjaya menewaskan penjaga gol, Damien Lim.
Masuk babak kedua, walaupun DPMM FC berdepan asakan bertali arus daripada pasukan tuan rumah, namun berjaya membolosi gawang Sabah FC pada minit ke-74 menerusi jaringan Tommy Mawat Bada.
Bagaimanapun Sabah FC berjaya merapatkan jurang dua minit kemudian menerusi Ajdin Mujagic.
Namun, pada minit ke-86 kapten DPMM FC, Azwan Ali Rahman bijak memanfaatkan situasi kelam kabut dalam kotak penalti untuk memastikan kelebihan buat pasukannya untuk gol ketiga.
Sehingga tamat permainan, Sabah gagal mencetak jaringan tambahan dan kedudukan kekal 3-1.
Sementara itu, Pemangku Ketua Jurulatih Sabah FC, Alto Linus mengakui pasukannya telah mengambil 'risiko' susulan penggantungan juga kecederaan pemain, namun beliau tetap optimis anak buahnya akan bangkit pada perlawanan seterusnya menentang Terengganu FC.
Bagi Jurulatih DPMM FC, James Mcallister pula kemenangan yang diperoleh ini memberi semangat kepada pasukan untuk melayan kunjungan Pulau Pinang di laman sendiri, Selasa ini.