KUALA LUMPUR, 20 Disember - Pasukan bola jaring Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjaya merangkul gelaran juara sempena Karnival Sukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 yang berlangsung hari ini.
Kejayaan itu menyaksikan pasukan RTM membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala dan pingat, manakala naib juara, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), menerima RM2,000 dan pingat.
Tempat ketiga dan keempat masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan RM500 berserta pingat.Sebanyak lima pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan bola jaring yang berlangsung di IWK Eco Park, Pantai Dalam, melibatkan dua pasukan daripada Bernama, manakala RTM, Sinar Harian dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) masing-masing satu pasukan.
Ketua pasukan bola jaring RTM, Aireen Rosli berkata, kejayaan dinobatkan sebagai juara amat bermakna buat pasukannya, susulan ia merupakan penyertaan sulung mereka dalam karnival berkenaan.
"Penganjuran karnival sukan ini menarik kerana memberi ruang kepada warga media untuk meluangkan masa bersukan di samping mengeratkan hubungan serta berinteraksi dengan rakan-rakan media daripada pelbagai agensi," katanya.
RTM mempamerkan aksi cemerlang apabila melangkah tanpa kalah pada peringkat kumpulan sebelum menang mudah bertemu pasukan Bernama Netforce di separuh akhir dengan mata 18-4.Dalam aksi final pula, RTM menewaskan Bernama Bullets dengan keputusan 16-9 untuk mengesahkan kejuaraan.
Kejayaan itu hasil kerjasama padu pasukan yang terdiri daripada Nazatul Fareena Sheikh Md Rosli (ketua pasukan), Zian Faziha Saripin, Mashira Meri, Nurul Salsabila Md Salleh, Rohaida Abidin, Zuria Baidura Mohd Zain, Ainin Sofea Mohd Fozi, Siti Nurshuhada Fadzil, Ami Azieana Talib, Awatif Ezzah Ab Rahim, Norashikin dan Zalina Pandak Aziz.
Turut hadir menyaksikan kejohanan ialah Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita, Mohd Shukri Ishak dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi, Azlina Aziz.