KUALA LUMPUR, 20 Disember - Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah tidak menolak kemungkinan beraksi di Grand Prix (GP) Malaysia menerusi tiket wildcard, sekiranya diberi pertimbangan.
Bagaimanapun, beliau mengakui perkara itu bukan dalam perancangan terdekatnya.
Juara Asia itu mendedahkan, keinginan untuk kembali beraksi itu sentiasa ada, namun memilih untuk kekal realistik mengambil kira persaingan sengit, khususnya, daripada pelumba muda Eropah yang semakin mendominasi arena tersebut.
"Keinginan itu ada tetapi mungkin tidak dalam masa terdekat. Ia bergantung kepada situasi dan kita kena jadi realistik sebab sekarang ini banyak pelumba-pelumba yang bagus, cuma di Malaysia mungkin kita masih belum nampak.
"Pasukan Eropah lebih pandang kepada pelumba mereka sahaja. Agak sukar untuk (pelumba Asia) dapat tempat dalam pasukan Eropah tanpa keputusan yang baik.
"Jadi saya lebih suka, buat yang terbaik dahulu, kemudian kekalkan dengan rentak yang baik dan lihat macam mana musim saya berjalan. Mungkin, kita akan dapat peluang wildcard lebih banyak berbanding sebelum ini ," katanya ketika ditemui semasa program Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL) Experience 2025 di ibu negara, hari ini.
Mengulas mengenai kejayaannya merangkul gelaran Juara Asia bagi kelas elit ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025, Hafizh berkata, dia masih mampu memberikan saingan meskipun dikatakan sudah semakin berusia dan konsisten berbanding sebelum ini.
"Saya masih mampu memberikan saingan walaupun orang kata umur saya sudah lebih 30 tahun tetapi umur itu hanyalah nombor dan saya akan terus berlatih serta memotivasikan diri.
"Selain itu, pasukan saya sekarang ialah JDT Racing Team yang disokong oleh Tengku Mahkota Ismail, jadi saya hanya memikirkan untuk melakukan yang terbaik untuk pasukan," katanya.
Sementara itu, ABKL Experience 2025 yang berlangsung hari ini mencatat sejarah sebagai penganjuran Expo & Pre-Tournament GTAV FiveM pertama di Malaysia.
Acara itu mempamerkan perkembangan dunia roleplay tempatan termasuk teknologi pelayan, sistem permainan, pencipta kandungan serta potensi kerjaya dalam industri digital dan e-sukan.
Menerusi Adik Beradik Roleplay (ABRP), dunia maya berasaskan permainan popular Grand Theft Auto (GTA) yang dibangunkan ABKL, Hafizh memegang watak Yaka Leng.
Selain itu, beberapa lagi bintang turut terlibat di dalam ABRP termasuk Daddyhood yang memegang watak Joe Rimau, Somean K-Clique (Boy K) dan Gnello K-Clique (G-Star).
Ketua IT ABKL, Mohd Hilmi Azli berkata, kesemua mereka bukan sekadar wajah promosi, tetapi turut berperanan sebagai pemain aktif, streamer dan penyumbang idea dalam pembangunan ABRP serta aktiviti komuniti.
Katanya, ABKL melihat kolaborasi itu sebagai hubungan jangka panjang dengan pelbagai perancangan kandungan dan acara khas yang akan diumumkan secara berperingkat.