fb fb fb fb fb

Liga Super: Sabah FC, Melaka sama kuat

Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 29 Ogos - Sabah FC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan pendatang baharu Liga Super, Melaka FC pada perlawanan yang berlangsung di stadium Likas pada Jumaat.

Melaka FC berjaya mencemaskan pasukan Sabah dengan jaringan awal pada minit ke-3 separuh masa pertama.

Namun jaringan Juan Douglas Da Silva tidak sah kerana 'ofsaid'.

Sabah FC mula mengatur rentak dengan melancarkan serangan untuk mencari gol pendahuluan.

Bagaimanapun, keadaan padang yang licin akibat hujan menyebabkan kerancakan permainan kedua-dua pasukan terganggu.

Beberapa percubaan jauh menerusi Jafri Chew, Gary Steven Robbat dan Stuart John Wilkin gagal menemui sasaran.

Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, Sabah FC menggandakan asakan dan hasilnya pasukan tersebut berjaya mendahului 1-0 menerusi pemain import Ajdin Mujagic pada minit ke-60 selepas menolak masuk bola hantaran Jafri Chew.

Tersentak dengan jaringan berkenaan, Melaka FC mula memperkemaskan permainan bagi memburu gol penyamaan.

Hasilnya, Melaka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Irfan Zakaria pada minit ke-84 selepas menolak masuk bola hasil sepakan sudut.

Kedudukan seri 1-1 itu kekal sehingga tamat permainan.

Keputusan seri tersebut membolehkan Sabah FC menduduki tangga ke-8 liga, manakala Melaka FC di tangga ke-7 berkongsi 3 mata

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD