fb fb fb fb fb

Liga Super: Peres muncul wira saat akhir bantu Sabah FC ikat KL City

Pemain KL City FC, Manuel Federico melakukan percubaan sambil dihalang pemain Sabah FC Daniel Ting (kanan) pada saingan Liga Super Malaysia 2025/2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, malam tadi/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Gabriel Peres menjadi penyelamat Sabah FC apabila menjaringkan gol penyamaan pada saat akhir untuk mengikat Kuala Lumpur City FC 1-1, meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Sabah bermula garang di laman lawan namun malang menimpa skuad Sang Badak apabila pemain tengah, Dean Pelekanos, dilayangkan kad merah pada minit akhir babak pertama selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesan kekasaran terhadap Declan Lambert.

KL City memecah kebuntuan pada minit ke-64 apabila hantaran Lambert terbias mengenai Dane Ingham sebelum menerjah ke gawang sendiri.

Ketika kemenangan hampir menjadi milik tuan rumah, Peres muncul wira Sabah FC dengan tandukan kemas hasil sepakan percuma jarak jauh Stuart Wilkin pada minit terakhir perlawanan, sekali gus memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Penolong jurulatih Sabah FC, Alto Linus mengakui ia bukan tugas mudah bermain dengan 10 pemain.

“Kita mempunyai banyak peluang untuk mendahului sebelum bermain dengan 10 orang. Saya rasa jika seimbang 11 lawan 11, keputusan mungkin lebih memihak kepada kita,” kata beliau.

Sementara itu, jurulatih KL City, Risto Vidakovic menyifatkan pasukannya menguasai permainan pada separuh masa kedua tetapi gagal memanfaatkan peluang.

"Secara keseluruhan, pasukan bermain sangat baik dan kami perlu terus bekerja untuk menambah mata.” ujarnya selepas tamat perlawanan.

Aksi seterusnya menyaksikan KL City bertandang ke Stadium Bandaraya menentang Penang FC pada 24 Ogos, manakala Sabah FC melayan kunjungan Kelantan The Real Warriors di Stadium Likas pada 23 Ogos.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN