IPOH, 19 Mei - Perak FC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri, apabila tewas 2-3 kepada PDRM pada aksi kedua Liga Super di Stadium Ipoh, malam tadi (Sabtu).
Beraksi di hadapan 11,000 penyokong, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan seimbang dengan masing-masing saling berbalas serangan.
Pasukan tuan rumah terlebih dahulu berada di depan menerusi rembatan deras pertahanan kiri, Tommy Mawat Bada pada minit keenam.
Tersentak dengan jaringan berkenaan, PDRM menggandakan asakan bagi mencari gol dan berhasil menyamakan kedudukan menerusi pemain import berbisa Ifedayo Olusegun pada minit ke-24. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan agresif bagi menjaringkan gol sekali gus memenangi perlawanan.
Hasilnya, PDRM berjaya berada di depan dengan gol kedua menerusi Bruno Suzuki pada minit ke-72.
Perak FC kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-82 menerusi Wan Zack Haikal.
Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, Ifedayo sekali lagi meranapkan impian Perak FC bagi sekurang-kurangnya meraih satu mata apabila menjaringkan gol ketiga buat PDRM pada minit-minit akhir permainan.
Sementara itu, Ketua jurulatih Perak, Yusri Che Lah menyifatkan banyak kelemahan dan kesilapan yang dilakukan para pemainnya dan menyebabkan impian bagi memenangi tiga mata penuh tidak tercapai.
"Perit untuk terima kekalahan sebegini dan sudah pasti saya kena redha perancangan Allah lebih baik untuk saya dan pasukan.
"Apa pun kita perlu menerima banyak kelemahan yang berlaku separuh masa pertama terutamanya dan dua kali kita kena serangan balas kita dihukum dengan satu jaringan.Apa pun kita belajar dari kesilapan kita sendiri", jelas Yusri yang ditemui selepas perlawanan di sini.
Dalam pada itu, Ketua jurulatih PDRM, P.Maniam pula tidak berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya, meskipun memenangi perlawanan.
"Pada separuh masa pertama kami tidak bermain seperti biasa. kami cuba bangkit selepas itu. Kami perlu memantapkan jentera pertahanan dan serangan bagi perlawanan seterusnya", katanya.