ISKANDAR PUTERI, 18 Mei- Juara Liga Super 10 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan kempen musim ini dengan langkah kanan selepas menang 3-1 ke atas Negeri Sembilan, petang tadi.
Tanpa Arif Aiman, Skuad kendalian Hector Bidoglio itu tetap kebal lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.
Gol pembukaan JDT hadir minit ke-12 menerusi jaringan Bergson Da Silva, hasil rembatan diluar kotak penalti.
Bergson sekali lagi meledak jaringan kedua sebaik menyempurnakan umpanan bola Juan Muniz bagi menewaskan penjaga gol, Muhamad Aqil, lima minit kemudian.
Minit ke-23 menyaksikan Bergson berpeluang mencipta hatrik, namun rembatannya mengenai palang gol.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan merapatkan jurang jaringan menerusi rembatan leret pemain import mereka, Hein Htet Aung menembusi gawang pada minit ke-27.
JDT kembali dikedudukan selesa pada babak kedua selepas kapten pasukan, Jordi Amat menanduk bola ke gawang susulan sepakan penjuru pada minit ke-70.
Meskipun beraksi dengan baik, namun Pengendali JDT, Hector Bidoglio menyifatkan aksi anak buahnya itu belum berada pada prestasi sebenar.
Beberapa penambahbaikan akan dibuat terutama dalam situasi 'bola mati'.
"Ia adalah perlawanan yang sukar. Pertahanan lawan beraksi dengan padat dan menyukarkan kami untuk membuat serangan. Kami perlu memperbaikinya. Kami perlu bermain dengan lebih sabar.
"Pada pendapat saya, JDT bermain dengan baik, namun setiap perlawanan akan sentiasa sukar.
"Kami perlu lebih dinamik tetapi saya pasti mereka bertambah baik dalam beberapa bulan akan datang," katanya ketika ditemui media di sini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, Azzmi Ab. Aziz tetap memuji dedikasi dan disiplin pemain meskipun jurang kualiti ketara antara kedua-dua pasukan.
Ketumpulan pada bahagian posisi tengah menjadi fokus untuk diperkasakan menjelang perlawanan seterusnya.
"Ini pasukan baru bagi saya dan kita masih lagi di menilai pasukan. Semoga pengurusan terus menyokong pasukan. Insya-Allah kita akan lebih baik di minggu depan," katanya.
Terdahulu, sebelum perlawanan bermula, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menyampaikan trofi perlawanan Sumbangsih 2024-2025 kepada JDT.
Pasukan tersebut muncul juara secara automatik susulan penarikan diri Selangor FC pada 10 Mei lalu.