fb fb fb fb fb

Liga Super: Perak FC-KDA FC kongsi satu mata

Aksi di separuh masa pertama Perak FC vs KDA FC/Foto KDA FC

MANJUNG, 4 Disember - Harapan Perak FC untuk mengutip tiga mata penuh di gelanggang sendiri tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, petang tadi.

Pasukan tuan rumah mendahului pada minit ke-70 selepas sepakan penalti disempurnakan pemain kelahiran Brazil, Clayton Da Silveira, yang dijatuhkan oleh pertahanan KDA FC.

Namun, kelekaan Perak FC di penghujung perlawanan dihukum oleh rembatan deras Amirul Hisyam Awang Kechik dari luar kotak penalti, memastikan kedudukan kekal terikat sehingga wisel penamat.

Jurulatih KDA FC, Victor Andrag, meluahkan rasa bangga terhadap komitmen pemainnya sepanjang perlawanan.

"Pertama sekali, terima kasih banyak kepada pemain-pemain saya. Mereka memberikan segalanya yang mereka ada.

"Dalam apa jua keadaan, saya amat menghormati usaha mereka sepanjang 90 minit permainan," katanya.

Sebaliknya, pengendali Perak FC, Yusri Che Lah, jelas kecewa dengan keputusan tersebut.

"Saya rasa peluang-peluang yang kita ada sepatutnya diterjemahkan kepada kemenangan. Namun, kita perlu melihat ke hadapan dan jadikan perkara ini sebagai iktibar, terutama menjelang saingan Piala Malaysia minggu depan," ujar beliau.

Keputusan akhir, Perak FC 1 - KDA FC 1.

GRACE AISYAH KEDAYAN