fb fb fb fb fb

Liga Super: JDT 'bermaharajalela', rekod kemenangan keenam berturut-turut

Foto FB Johor Southern Tigers

ISKANDAR PUTERI, 27 Julai- Johor Darul Takzim (JDT) meneruskan rentak kemenangan dalam kempen Liga Super sekali gus mengungguli takhta liga.

Terengganu FC menjadi mangsa terbaharu apabila dibelasah 4-0 pada pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Ia adalah kemenangan keenam berturut-turut skuad Harimau Selatan.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio akui berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

Beliau menyifatkan perlawanan menentang Terengganu FC adalah penting kerana pasukan itu antara pencabar terkuat dalam liga.

"Pemain hari ini mempunyai prestasi terbaik. Kami bermain sangat baik dalam perlawanan penting menentang Terengganu."

"Ini kerana Terengganu satu pasukan yang sangat bagus, mempunyai pemain yang bagus. Prestasi kami hari ini sangat baik dan saya berpuas hati dengan rentak permainan kami yang agresif dan kawalan posisi yang baik," kata Bidoglio kepada pemberita selepas perlawanan.

Hector turut menolak idea layangan kad merah terhadap Terengganu FC menjadi faktor kemenangan pasukannya, kerana berpendapat JDT mendominasi keseluruhan permainan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menyifatkan pasukan JDT bermain pada tahap berbeza berbanding pasukannya.

Beliau bagaimanapun tidak berpuas hati dengan tindakan pengadil melayangkan kad merah kepada pemain pertahanannya.

"Selepas gol awal daripada Heberty, JDT menekan kami. Mereka bermain secara agresif dan baik dan kami pula melakukan kesilapan kecil di barisan pertahanan. Banyak hantaran lintang di kawasan penalti."

"Selepas 2-0, kami cuba untuk bermain tetapi tidak berupaya mencari gol kerana kekurangan pemain," kata Steinbruckner.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM