fb fb fb fb fb

Perasmian Olimpik Paris 2024 unik dan luar biasa

Foto BERNAMA

PARIS, 27 Julai- Bonjour Paris! Memukau dan Bersejarah.

Perancis menampilkan upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 menakjubkan dan unik bermula dengan perarakan terapung di sepanjang Sungai Seine dan berakhir di Menara Eiffel yang ikonik malam tadi (awal pagi ini waktu Malaysia).

Kawah Olimpik - belon udara panas dinyalakan di Taman Tuileries dan naik megah ke udara, menandakan saingan sekitar 10,500 atlet bermula selama 17 hari pada temasya kali ketiga di bumi Paris selepas 1900 dan 1924.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, upacara pembukaan diadakan di luar stadium, di tengah-tengah Paris yang disaksikan oleh kira-kira 300,000 orang dari pentas, jambatan, tebing sungai dan kediaman mereka apabila 205 negara berarak menggunakan 85 bot pelbagai saiz sepanjang enam kilometer Sungai Seine.

Ini berbeza dengan pembukaan Sukan Tokyo 2020, yang diadakan pada 2021 akibat pandemik COVID-19, apabila kurang daripada 1,000 tetamu kenamaan menghadiri majlis itu di Stadium Olimpik.

Ikon pop Amerika Syarikat, Lady Gaga, penyanyi-penulis lagu Perancis-Mali, Aya Nakamura dan bintang mega Celine Dion adalah antara artis tersohor membuat persembahan dari lokasi-lokasi indah yang berbeza dalam majlis yang berlangsung selama empat jam itu.

Ini adalah kali pertama Celine Dion membuat persembahan secara langsung sejak dia didiagnosis dengan Stiff Person Syndrom (SPS)pada tahun 2022. Ia adalah gangguan neurologi yang jarang dan kompleks yang menyebabkan kekakuan progresif dan kekejangan menyakitkan.

Nama besar lain yang turut serta dalam majlis perasmian termasuk legenda bola sepak Perancis Zinadine Zidane; bintang tenis tenis Sepanyol Rafael Nadal; legenda tenis Amerika Syarikat Serena Williams; bekas pelari pecut Amerika Syarikat Carl Lewis, pemenang sembilan pingat emas Olimpik dan bekas gimnas Nadia Comaneci, pemenang lima kali pingat emas Olimpik.

Pengarah artistik majlis pembukaan, Thomas Jolly, menggambarkan pencapaian sejarah dan khazanah Perancis sepanjang persembahan semasa perarakan dengan pembawa obor bertopeng berlari melintasi bumbung monumen dan jambatan terkenal ketika hujan lebat pada perarakan bot di Sungai Seine.

Walaupun cuaca hujan, acara itu bermula dengan cemerlang apabila Zidane menerima obor sukan dari pelakon-pelawak Perancis-Maghribi Jamel Debbouze di Stade de France dan meluru ke tebing Sungai Seine.

Perarakan Negara-Negara bermula dengan Greece, rumah Sukan Olimpik zaman purba, mengetuai kontinjen di atas bot mengikut susunan abjad dengan kemuncak tuan rumah Perancis mengakhiri perarakan terapung di Trocadero.

Majlis yang mempesonakan itu diakhiri dengan paparan laser yang menakjubkan yang menerangi Menara Eiffel dan langit malam Paris.

Atlet Malaysia yang turut bersaing di Sukan Paris adalah pemanah Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Mohd Fazil; pemain badminton Lee Zii Jia, Goh Jin Wei, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M. Thinaah, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei; penerjun Nur Dhabitah Sabri; perenang Khiew Hoe Yan;

Pelumba berbasikal lebuh raya Nur Aisyah Mohamad Zubir, pelumba trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri; pemain golf Gavin Green dan Ashley Lau; penembak Johnathan Wong Guanjie; angkat berat Muhammad Aniq Kasdan; dan pelari pecut Muhammad Azeem Fahmi.

Malaysia, yang membuat penampilan sulung pada Sukan Melbourne 1956, telah memenangi lapan pingat perak dan lima gangsa, dengan badminton menyumbang sebahagian besar iaitu enam perak dan tiga gangsa.

Los Angeles, Amerika Syarikat, akan menjadi tuan rumah edisi Sukan Olimpik 2028.- BERNAMA

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI