PARIS, 27 Julai- Tiga pasangan beregu negara bakal turun ke gelanggang pada hari pertama acara badminton di Porte de la Chapelle Arena, petang ini.
Beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi wakil pertama Malaysia turun ke gelanggang untuk saingan Kumpulan D, kira-kira pukul 3.20 petang waktu Malaysia.
Mereka bertemu pasangan Singapura, Terry Hee dan Jessica Tan.
Aksi disusuli beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M.Thinaah.
Gandingan ke-13 dunia itu akan berhadapan pasangan ranking nombor satu dunia dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan untuk aksi pertama Kumpulan A kira-kira pukul 4.10 petang.
Pasangan itu bakal menempuh satu laluan sukar dalam kempen temasya Olimpik kali ini, apabila turut diundi bersama beregu Indonesia dan Jepun bagi merebut dua tempat teratas untuk layak ke suku akhir.
Turut beraksi pada waktu yang sama adalah pasangan lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Gandingan di ranking ke-4 dunia itu akan menentang wakil dari Great Britain, Ben Lane dan Sean Vendy dalam aksi pertama Kumpulan A.
Aaron-Wooi Yik yang kini di ranking keempat dunia adalah antara harapan pingat emas pertama negara dan akan diberikan tentangan sengit oleh dua lagi pasangan dari China dan Kanada.
Sementara itu, dua lagi acara iaitu menembak dan renang turut akan berlangsung petang ini.
Di Chateauroux Shooting Arena, penembak negara, Jonathan Wong akan memulakan cabaran dalam acara kelayakam 10 meter Air Pistol pada pukul 4.30 petang.
Selain itu perenang negara, Khiew Hoe Yean akan turun ke kolam renang bagi saringan 400 meter gaya bebas di Paris La Defense Arena.
Jika layak, Hoe Yean akan melangkah ke pusingan akhir, awal pagi esok.