KUALA LUMPUR, 4 November - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus komited dalam memperkukuhkan pembangunan bakat sukan di peringkat akar umbi melalui pelbagai usaha dan inisiatif berterusan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata program pembangunan bakat sedang dilaksanakan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Sukan Negeri serta Persatuan Sukan Negeri.
"MSN kini mengendalikan empat program latihan melibatkan atlet muda berusia antara 13 hingga 21 tahun iaitu Program Bakat, Program Pelapis Negeri, Program Pembangunan Sukan Olimpik dan Program Khas. Ketika ini, seramai 35,446 atlet terdiri daripada 26,638 lelaki dan 8,808 wanita sedang menjalani latihan di 931 pusat latihan di seluruh negara, dipantau oleh 1,715 jurulatih.
“Bagi tahun ini sahaja, sebanyak RM74.1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program-program pembangunan bakat ini,”.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah di Dewan Rakyat hari ini mengenai strategi kementerian dalam memupuk bakat sukan sejak di bangku sekolah.
Dalam pada itu, Adam Adli turut memaklumkan acara akuatik (terjun), badminton, berbasikal (trek), memanah, skuasy, karate dan wushu dikenal pasti sebagai antara sukan yang berpotensi menyumbang pingat pada temasya Sukan Asia tahun depan.
Bagi Sukan Komanwel 2026 pula, sukan berpotensi meraih pingat ialah angkat berat, boling padang, para olahraga, para lawn bowls dan para powerlifting.
Beberapa pencapaian luar biasa atlet negara masa kini mengukuhkan keyakinan bahawa Malaysia berada di landasan tepat untuk mencipta sejarah meraih pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2028.