PRAGUE, 4 November – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengesahkan bahawa penyerang Sweden, Viktor Gyokeres tidak akan beraksi dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Slavia Prague pada Selasa, selepas mengalami kecederaan otot ketika membantu pasukannya menewaskan Burnley 2-0 hujung minggu lalu.
Gyokeres tidak menyertai sesi latihan pada Isnin dan masih menunggu keputusan ujian lanjut bagi menentukan tahap kecederaannya.
“Saya bimbang kerana dia jarang mengalami masalah otot, tetapi kali ini dia terpaksa meninggalkan padang dan mengadu berasa tidak selesa,” kata Arteta dalam sidang media praperlawanan.
“Itu bukan petanda baik, terutama bagi pemain yang bergantung pada kepantasan dan daya ledakan. Kami sedang melakukan pemeriksaan lanjut dan akan memaklumkan sebaik sahaja keputusan diketahui,”tambahnya.
Arteta mengesahkan bahawa Gyokeres pasti tidak akan diturunkan menentang Slavia Prague dan pasukannya perlu menunggu beberapa hari lagi sebelum mengetahui tempoh sebenar pemulihan pemain itu.
Kecederaan Gyokeres menambah senarai panjang pemain Arsenal yang masih tidak dapat beraksi termasuk Kai Havertz, Gabriel Jesus, Gabriel Martinelli, Noni Madueke dan Martin Odegaard.
Bagaimanapun, Arsenal tetap berazam memburu kemenangan ke-10 berturut-turut dalam semua pertandingan, selain mengekalkan rekod lapan perlawanan tanpa bolos dengan Mikel Merino berkemungkinan menggantikan Gyokeres di barisan serangan.
Kelab London itu kini berada enam mata di hadapan Manchester City di tangga teratas Liga Perdana Inggeris dan tujuh mata mengatasi juara bertahan, Liverpool dalam misi menamatkan kemarau kejuaraan liga sejak tahun 2004. -AFP