BERLIN, 4 November – Pemain tengah Borussia Dortmund, Jobe Bellingham, kini mula menunjukkan potensi sebenar selepas permulaan yang perlahan, menjelang kepulangannya ke England untuk menentang Manchester City pada Rabu.
Jobe, 19, menyertai Dortmund pada musim panas lalu dengan yuran perpindahan sebanyak 30.5 juta euro dari Sunderland, menjadikannya antara pembelian termahal dalam sejarah kelab Jerman itu.
Langkah itu mengikuti jejak abangnya, Jude Bellingham, yang berpindah ke Dortmund lima tahun lebih awal pada usia 17 tahun.
Jude kemudiannya muncul sebagai salah seorang pemain paling bernilai di Eropah sebelum berhijrah ke Real Madrid pada tahun 2023.
Walaupun Jobe telah kembali ke England sebelum ini untuk mewakili skuad bawah 21 tahun yang diketuainya, pertemuan dengan City pada pertengahan minggu ini akan menjadi penampilan pertamanya di tanah air bersama kelab baharunya.
Seperti Manchester City, Dortmund kini berada dalam lapan pasukan teratas Liga Juara-Juara Eropah, selepas mencatat dua kemenangan dan satu seri daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan setakat ini. -AFP