KUALA LUMPUR, 4 November - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meluahkan rasa sedih dan ralat terhadap tindakan penganjur Warzone World Championship (WWC) yang menggunakan seorang kanak-kanak, Al Fateh untuk mengemukakan permohonan maaf kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung penganjuran kejohanan tersebut.
Menurut Hannah, tindakan itu tidak wajar dan menimbulkan persoalan tentang kebertanggungjawaban pihak penganjur, memandangkan acara tersebut dijalankan tanpa kelulusan rasmi daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
“Tolong jangan gunakan kanak-kanak untuk membuat penjelasan seperti ini. KBS tidak memerlukan anak kecil ini untuk meminta maaf. Anak kecil tidak salah. Penganjur perlu bertanggungjawab,” tegas beliau menerusi satu kenyataan di media sosial Instagram.
KBS dalam kenyataan rasmi pada Ahad lalu menjelaskan bahawa sebarang penganjuran acara sukan, terutamanya yang melibatkan penyertaan antarabangsa, wajib mendapatkan kelulusan daripada PJS bagi memastikan penganjuran mematuhi garis panduan keselamatan, integriti sukan serta peraturan yang ditetapkan.
Menurut kenyataan itu, pihak Pesuruhjaya Sukan akan mengeluarkan surat teguran kepada Persatuan Muay Thai Malaysia dan Malaysia Professional Boxing Federation (MPBF) kerana tidak memastikan penganjur memperoleh lesen atau kelulusan sebelum menganjurkan kejohanan tersebut.
Hannah dalam reaksinya menegaskan bahawa KBS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan peraturan sedia ada terutamanya dalam penganjuran acara melibatkan atlet muda dan peserta antarabangsa.
Beliau turut menyeru semua penganjur acara sukan agar lebih peka terhadap keperluan mendapatkan kelulusan rasmi daripada PJS bagi mengelakkan sebarang implikasi undang-undang dan menjaga imej sukan negara.