KUALA LUMPUR, 4 November – Penolong jurulatih beregu lelaki kebangsaan yang baharu dilantik, Chang Kim Wai yakin kemahiran dan kreativiti menjadi kelebihan utama pemain beregu lelaki Malaysia berbanding China yang lebih bergantung kepada kelajuan serta kekuatan.
Jurulatih berusia 49 tahun itu berkata selepas meneliti corak permainan semasa sesi latihan pertamanya, pemain Malaysia dilihat memiliki kemahiran pukulan yang lebih pelbagai dan tersusun.
“Menurut pandangan saya, pemain kita lebih berkemahiran dan mantap daripada China. Sewaktu latihan tadi, pergerakan mereka juga baik dengan pukulan yang kreatif.
“Pemain di China pula lebih banyak menggunakan kelajuan dan kekuatan dalam permainan mereka,” kata beliau semasa sesi latihan bersama skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini hari ini.
Kim Wai, yang baru pulang daripada tugasan kejurulatihan di Guangxi, China mengakui beliau memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dan mengenali karakter setiap pemain sebelum membuat penilaian lanjut.
Menyentuh peluang beregu lelaki negara di peringkat dunia, beliau berkata saingan kini semakin terbuka tanpa pasangan yang benar-benar mendominasi.
Ketika ini, terdapat tiga beregu lelaki Malaysia berada dalam kelompok 10 terbaik dunia iaitu bekas juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik (kedua), Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (keempat) dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (kelima).
Kim Wai akan bekerjasama rapat dengan Ketua Jurulatih Beregu Lelaki, Herry Iman Pierngadi dan jurulatih Miftakh bagi memperkukuh prestasi skuad beregu lelaki negara.