fb fb fb fb fb

Enam atlet mewakili Malaysia dalam upacara pembukaan Olimpik Paris 2024

Kontinjen yang mewakili Malaysia pada upacara pembukaan rasmi Olimpik Paris 2024 memakai busana berwarna keemasan rekaan Rizman Ruzaini

PARIS, 27 Julai- Enam atlet tampil anggun menawan mengenakan busana berwarna keemasan rekaan Rizman Ruzaini mewakili negara awal pagi tadi berlangsungnya upacara pembukaan rasmi Olimpik Paris 2024.

Kontinjen Malaysia diketuai dua pembawa bendera iaitu penerjun negara, Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif.

Dalam cuaca hujan agak lebat, mereka berarak menaiki bot melalui Sungai Seine sejauh enam kilometer antara Jambatan Austerlitz sehingga ke Trocadero.

Antara atlet lain yang turut berada di atas bot adalah jaguh terjun negara, Nur Dhabitah Sabri, Khairulnizam Mohd Afendy (Pelayaran), Ashley Lau (Golf) dan Tan Rouxin (Renang).

Turut mengiringi mereka ialah Ketua Kontinjen Malaysia Ke Sukan Olimpik 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin dan Timbalan Ketua Kontinjen Datuk Nicol Ann David.

Sebanyak 85 bot pelbagai saiz melalui sungai berkenaan dengan kontinjen Malaysia muncul bersama-sama delegasi dari Malawi dan Maldives di atas bo sama.

Turut hadir pada acara pembukaan itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adly Abdul Halim; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohd Norza Zakaria dan Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Sementara itu ratusan ribu penonton termasuk media membanjiri sekitar Paris untuk menyaksikan upacara pembukaan berkenaan.

Salah satu lokasi menjadi tumpuan ialah Jambatan Pont de Sully. Jambatan itu dibina pada tahun 1876 dan dibuka secara rasmi pada 25 Ogos 1877. 

Ia bagi menggantikan dua jambatan asal pejalan kaki Passarelle Damiette dan Passarelle de Constantine yang rosak dan runtuh sekitar 1848 dan 1872.

Ia dinamakan sempena Duke of Sully, Maximilien de Béthune yang juga Bekas Ketua Menteri Perancis. 

Jambatan berkenaan direka oleh Jurutera Paul Vaudrey dan Gustave Brosselin. Pont de Sully merupakan salah satu jambatan besi tuang yang menjadi warisan seni bina bandar Paris.

Jambatan berkembar yang unik itu juga berfungsi sebagai penghubung penting antara Ile Saint-Louis ke kedua-dua tebing Sungai Seine.

Biarpun berdepan cabaran perubahan masa, Pont de Sully terus tersergam indah sekali gus menjadi bukti sejarah Paris dan keindahan seni bina di kota fesyen terkemuka di mata dunia yang turut terkenal dengan jolokan 'Kota Cinta'.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI