KUALA LUMPUR, 5 November- Gelanggang perlawanan tertunda Liga Super antara Perak FC dan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Ahad ini, kini ditukar ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi satu kenyataan berkata Perak telah diminta untuk menamakan gelanggang alternatif, berikutan risiko keselamatan bagi perlawanan berprofil tinggi itu.
Permintaan itu juga untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini yang mungkin merencatkan lagi jadual liga musim ini.
Sebagai maklum balas kepada permintaan MFL, Perak telah menamakan SSI sebagai gelanggang mereka untuk perlawanan tertunda tersebut.
Sebelum ini, dua perlawanan Perak FC dengan JDT masing-masing pada 17 Ogos dan 5 Oktober 2024 lalu terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat.
Sementara itu, Perak FC bakal menyediakan bas percuma kepada penyokong yang ingin menonton aksi pasukan di Johor.
Pihak pengurusan dalam kenyataan memaklumkan penyokong yang berminat boleh menghubungi Sekretariat Perak FC untuk urusan pengambilan bas.
Pemegang tiket perlawanan sebelum ini boleh menebus tiket di kaunter yang disediakan dan pemegang pas semusim juga dibenarkan masuk ke SSI bagi menyaksikan perlawanan tersebut.
Perak FC turut memohon maaf atas sebarang kesulitan dan menggalakkan penyokong untuk hadir memberi sokongan.