fb fb fb fb fb

Liga Super 2023: JDT terus di puncak liga

(JDT 'baham' TRW 5-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan
Muhammad IV Kota Bharu malam tadi/ FB JOHOR Southern Tigers)

KOTA BHARU, 15 Julai- Malang terus menimpa The Red Warriors (TRW) apabila dibelasah Johor Darul Ta'zim (JDT) 0-5 di laman sendiri di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu malam tadi.

Kejayaan itu menyaksikan JDT mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super 2023 apabila terus melebarkan rekod tanpa kalah selepas 17 perlawanan.

Harimau Selatan membuka jaringan pada minit kesembilan hasil rembatan luar kotak penalti Fernando Forestieri, menewaskan penjaga gol tuan rumah Mohammad Johan Tendot.

Tandukan Oscar Arribas pada minit ke-23 meletakkan JDT di hadapan sebelum Forestieri berjaya merembat peluang di hadapan pintu gol lawan untuk menambah gol ketiga pada minit ke-60.

Kecuaian pemain Kelantan mengundang padah apabila JDT menyumbat gol keempat menerusi Bergson da Silva.

Pemain gantian Muhammad Akhyar Abdul Rashid menoktahkan kemenangan Harimau Selatan dengan gol kelima pada minit ke-77.


(Akhyar Abdul Rashid sumbang gol kelima buat JDT pada minit ke-77/ FB JOHOR Southern Tigers )

Setakat ini sebanyak 67 gol telah dijaringkan JDT pada musim 2023, menjadikannya sebagai rekod baharu Liga Super Malaysia.

Rekod sebelum ini disandang Persatuan Bolasepak Selangor pada musim 2009 dengan 64 gol.

Media Baharu