fb fb fb fb fb

Liga Sukan OKU akan dijadikan acara tahunan

Aksi atlet OKU dalam acara bola tampar duduk pada Liga Sukan OKU Peringkat Kebangsaan. Foto Bernama

SEREMBAN, 20 September - Kementerian Belia dan Sukan berhasrat untuk menjadikan Liga Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai acara tahunan dalam usaha memperkasa budaya sukan dalam kalangan komuniti itu.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata penganjuran liga itu buat kali pertama hari ini membuktikan Liga Sukan OKU sebagai platform inklusif kepada atlet OKU untuk berinteraksi, bersosial dan bertanding pada peringkat yang lebih tinggi.

"Jadi kita memang akan teruskan usaha kita untuk perbanyak dan memperbesarkan lagi Liga Sukan Orang kurang upaya di peringkat kebangsan. Kalau tak ada liga sukan ini, mereka terpaksa mengharapkan kerajaan negeri, majlis sukan negeri untuk pilih mereka ke SUKMA (Sukan Malaysia).

"Tetapi SUKMA adalah untuk atlet bawah 21 tahun. Tapi golongan OKU mungkin ada yang 25 hingga 30 tahun dan SUKMA adalah sukan aras tinggi. Jadi Liga Sukan OKU ini merupakan platform terbaik untuk mereka kerana boleh menjadi medan untuk berkumpul dan berinteraksi," katanya ketika ditemui pada Liga Sukan OKU Peringkat Kebangsaan 2025 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan Paroi. 

Tambah Hannah, pendekatan unik telah diperkenalkan bagi Liga Sukan OKU dengan menentapkan had umur maksimum bermula dari 15 tahun ke atas.

Keunikan lain ialah dengan membenarkan pasukan bertanding disertai atlet dengan pelbagai bentuk ketidakupayaan termasuk fizikal, intelektual, visual dan pendengaran.

Pada edisi sulung Liga Sukan OKU, lebih 6,000 penyertaan direkodkan melibatkan tiga acara utama iaitu bola tampar duduk, futsal dan tenpin boling.

JALALUDDIN BIN BAHARIN