Shah Alam, 20 September – Pasukan Kelantan memulakan saingan pusingan kedua Kejohanan Ragbi Piala Agong 2025 dengan langkah kanan apabila menewaskan Selangor dengan keputusan 24-17 dalam satu perlawanan sengit yang berlangsung di EV Arena, Elmina City Centre, Shah Alam.
Pertembungan itu menyaksikan aksi seimbang dan penuh intensiti antara kedua-dua pasukan, namun Kelantan berjaya memanfaatkan kesilapan pasukan lawan untuk mencatat kemenangan penting.
Ketua jurulatih Kelantan, Syed Shazri, meluahkan rasa puas hati terhadap prestasi yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya, yang menurut beliau jauh lebih baik berbanding ketika menentang Perlis dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan sebelum ini.
“Saya gembira dengan disiplin dan semangat juang pemain. Mereka menunjukkan peningkatan berbanding aksi menentang Perlis,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Sementara itu, ketua jurulatih Selangor, Suhaimi Amran, nyata kecewa dengan persembahan skuadnya yang dilihat banyak melakukan kesilapan mudah.
“Kami gagal mengekalkan fokus. Banyak kesilapan individu yang akhirnya dihukum oleh pasukan Kelantan,” ujarnya.
Untuk rekod, kedua-dua pasukan kini telah mengharungi dua perlawanan peringkat kumpulan. Sebelum ini, Perlis menewaskan Kelantan, manakala Selangor pula berjaya menundukkan Perlis, menjadikan saingan kumpulan semakin terbuka dan mendebarkan.
