fb fb fb fb fb

Liga Saudi: Al-Ittihad menang bergaya, Malcom catat hatrik buat Al-Hilal

RIYADH, 15 Ogos - Juara bertahan Al-Ittihad memberi amaran kepada para pesainganya apabila memenangi perlawanan pembukaan Liga Pro Arab Saudi selepas menewaskan Al-Raed pagi tadi. manakala penyerang Al-Hilal, Malcom pula meledak hatrik pada pertemuan menentang Abha.

Al-Ittihad yang dibarisi beberapa pemain bintang dunia seperti Karim Benzema, N'Golo Kante dan Fabinho tampil garang dengan beberapa serangan yang mencemaskan pintu gol Al-Raed. Namun, Al-Raed membuktikan pasukan tersebut bukan pasukan belasahan apabila kental bertahan sehingga tamat separuh masa pertama bagi mengikat kedudukan 0-0.

Bersambung ke babak kedua, Al-Ittihad yang dikendalikan oleh Nuno Espirito Santo kembali memperkemaskan permainan dan serangan bagi memburu kemenangan. hasilnya, mereka mendapat gol pertama hasil serang balas menerusi Abderrazak Hamdallah pada minit ke-58.

Al-Ittihad kemudiannya menambah gol menerusi Igor Coronado pada minit ke-73 dan 79 perlawanan.

Sementara itu, Al-Hilal kembali bangkit mencatat kemenangan selepas dikecewakan Al-Nassr pada perlawanan akhir Piala Juara-Juara Kelab Arab pada Sabtu lalu.

Pasukan tersebut menjadikan Abha sebagai mangsa dengan kemenangan 3-1.

Penyerang Al-Hilal, Malcom membuka tirai jaringan pada minit ke-31.

Abha kemudian menyamakan kedudukan menerusi kapten pasukan, Saad Bguir yang berjaya merembat masuk bola melangkaui jangkauan penjaga gol Al- Hilal pada minit ke-33.

Tersentak dengan jaringan penyamaan tersebut, Al-Hilal menggandakan asakan ke pintu gol Abha dan berjaya menjaringkan dua gol menerusi Malcom pada minit ke 55 dan 77 bagi memberikan kemenangan sulung buat Al-Hilal.

Kemenangan tersebut meletakkan Al-Hilal di tangga kedua liga, manakala Al-Ittihad di puncak liga berkongsi mata hanya dipisahkan dengan jaringan gol.-Arabnews


(Pemain Al-Ittihad, Karim Benzema meraikan kemenangan selepas menumpaskan
 Al-
Raed, 3-0/FOTO AFP)

 

Media Baharu