LEEDS, 29 Disember-Erling Haaland kembali memperlihatkan sentuhan magisnya apabila membantu pasukannya, Manchester City menewaskan Leeds United 3-1 awal pagi tadi.
Kemenangan tersebut merapatkan jurang dibelakang pendahulu,Arsenal sebanyak lima mata.
Bermain sebagai pasukan pelawat, anak buah Pep Guardiola tidak gentar dengan pasukan tuan rumah apabila melancarkan serangan bertali arus, namun dihampakan dengan kecemerlangan penjaga gol Leeds, Illan Meslier.
Gol yang ditunggu-tunggu oleh Manchester City hadir pada minit akhir separuh masa pertama hasil jaringan Rodri.
Memasuki separuh masa kedua, 'The Citizen' memperkemaskan jentera serangan mereka dengan asakan ke kubu Leeds.
Hasilnya, Haaland berjaya menjaringkan gol kedua Manchester City pada minit ke-51 sebelum sekali lagi menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-64, bagi meletakkan kedudukan 3-0.
Leeds United berjaya mendapatkan gol saguhati pada minit ke-73 dan menjadikan kedudukan 3-1 sehingga tamat permainan.
Kekalahan tersebut meletakkan Leeds di kedudukan ke-15 liga, dua mata di zon penyingkiran.
(Penyerang Manchester City, Erling Haaland (kanan) ketika menjaringkan gol ketika
menentang Leeds awal pagi tadi/ FOTO AFP)