MANCHESTER, 9 Februari-Leeds United nyaris memalukan Manchester United dalam pertemuan yang berlangsung di Old Trafford pagi tadi.
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag mengkritik pasukan bimbingannya yang disifatkan 'lambat panas' apabila sekadar seri 2-2.
Leeds yang baru saja memecat pengurusnya, Jesse Marsch pada Isnin lalu turun dengan permainan menyakinkan dan hampir-hampir memenangi perlawanan selepas kemarau kemenangan sejak tujuh perlawanan lalu.
Willfried Gnoto pada minit pertama perlawanan dan gol sendiri oleh Raphael Varane pada minit ke-48 separuh masa kedua memberi pendahuluan buat Leeds selesa mendahului 2-0.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Manchester United mula memperkemaskan jentera serangan bagi memburu gol.
Penyerang Manchester United dan England, Marcus Rashford berjaya memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke-62. Jaringan tersebut merupakan jaringan ke-20 buat pemain itu musim ini.
Jaringan tersebut nyata membakar semangat pemain-pemain Manchester United bagi meneruskan asakan ke pintu gol Leeds.
Hasilnya, Jadon Sancho berjaya menjaringkan gol penyamaan buat tuan rumah pada minit ke-70 bagi mengikat kedua-dua pasukan sehingga tamat perlawanan.
Keputusan seri itu menyaksikan Manchester United melebarkan rekod tanpa kalah digelanggang sendiri kepada 16 perlawanan.
Pengurus Manchester United, Erik ten Hag menganggap keputusan tersebut sebagai sesuatu yang memalukan.
"Kami mendapat mata kerana kami bangkit daripada ketinggalan dalam perlawanan ini. Namun, prestasi pasukan ketika memulakan aksi hari ini sangat tidak boleh diterima. Pasukan harus bersedia bagi berjuang. Kami tidak bersedia bagi perlawanan ini", ujarnya.
Keputusan seri meletakkan Manchester United di kedudukan ketiga liga dengan 43 mata.
Manakala bagi Leeds pula, keputusan seri itu berjaya meletakkan pasukan itu satu mata di atas zon penyingkiran.-AFP
(Aksi Pengurus Manchester United, Erik ten Hag ketika perlawanan menentang
Leeds/FOTO AFP)