fb fb fb fb fb

Liga Negara UEFA: Jaringan Joselu bawa Sepanyol ke perlawanan akhir

ENSCHEDE, 16 Jun-Sepanyol mara ke perlawanan akhir Liga Negara UEFA buat kali kedua berturut selepas menewaskan Itali 2-1 pada perlawanan separuh akhir pada Khamis.

Sepanyol terlebih dahulu membuka tirai jaringan Yeremy Pino pada minit ke-3 perlawanan hasil kesilapan pertahanan Italy, Bonucci yang gagal membaca hantaran yang dilakukan oleh penjaga gol, Gianluigi Donnarumma. Pino yang menghidu kesilapan tersebut berjaya menjaringkan gol bagi memberi gol pendahuluan buat Sepanyol.

Tujuh minit kemudian, Itali dihadiahkan sepakan penalti selepas rembatan penyerang Itali, Nicolo Zaniolo terkena tangan pertahanan Sepanyol di dalam kotak penalti.

Penyerang, Ciro Immobile tidak mensia-siakan peluang bagi menyamakan kedudukan 1-1 bagi skuad Azzuri.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan Itali hampir-hampir menambah jaringan menerusi Ciro Immobile pada minit ke-21, namun jaringan tersebut dibatalkan kerana berada dalam kedudukan 'offside'.

Kedudukan separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 1-1.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun gagal menjaringkan gol.

Ketika perlawanan seolah-olah bakal memasuki tambahan masa, penyerang Sepanyol, Joselu berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-88 permainan sekali gus gol kemenangan buat Sepanyol mara ke perlawanan akhir Liga Negara UEFA.

Ini merupakan kali kedua Sepanyol melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas kempunan menjulang trofi pada 2021 selepas tumpas di tangan Perancis.

Pada perlawanan akhir Isnin depan, Sepanyol bakal bertemu Croatia yang berjaya menewaskan Belanda dalam satu lagi separuh akhir pada Rabu-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu