KUALA LUMPUR, 16 Jun-Kementerian Belia dan Sukan(KBS) akan terus memberikan sokongan kepada pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk kembali bangkit menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, jawatankuasa 'Road to Gold' (RTG) dan Majlis sukan negara (MSN) akan sentiasa mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan masalah dihadapi.
"Kita akan sentiasa beri sokongan kepada beliau.
"Saya percaya Zii Jia ada semangat yang kuat. Kita hendak lihat Zii Jia bangkit sebagai salah seorang yang kita sandarkan harapan ke Olimpik", katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman penajaan oleh Co-opbank Pertama (CBP) dan pelantikan duta Kuala Lumpur Golf and Country Club kepada dua pemain boling wanita negara Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Natasha Roslan di sini pada Khamis.
Selepas disingkirkan pemain India Lakshya Sen 21-17, 21-13 pada pusingan pembukaan Terbuka Indonesia 2023 semalam, pemain ranking ke-11 dunia itu mengambil keputusan untuk berehat sementara waktu bagi mendapatkan semula motivasi, susulan prestasi merudum dipamerkannya sejak akhir-akhir ini.
(Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim)