fb fb fb fb fb

Liga Malaysia : Sri Pahang sah tarik diri

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 Jun - Pasukan Sri Pahang FC mengesahkan tidak akan menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2025/26 meskipun telah memperoleh Lesen Kebangsaan daripada badan bebas First Instance Body (FIB).

Perkara itu dimaklumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan hari ini, yang menyatakan kelab berkenaan itu menyerahkan surat pengesahan menarik diri pada 16 Jun lalu.

Dengan keputusan itu, hanya 13 pasukan akan beraksi dalam saingan Liga M musim baharu yang dijadual bermula pada 8 Ogos ini.

“Kesemua kelab ini telah diberikan Lesen Kebangsaan 2025-2026 oleh badan bebas First Instance Body (FIB), dengan kelab dari Brunei, DPMM FC diberikan kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk bertanding dalam Liga Malaysia 2025/26,” menurut MFL lagi.

Antara pasukan yang disahkan akan beraksi ialah juara bertahan Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC serta DPMM FC.

Turut menyertai saingan kali ini adalah dua wakil dari Liga A1 anjuran AFL, iaitu Melaka FC dan Imigresen FC.

Kalendar Liga Malaysia musim ini akan bermula dengan pertembungan juara Liga Super JDT dengan naib juara Liga Super Selangor dalam aksi Sumbangsih pada 8 Ogos depan yang turut menjadi perlawanan pembuka tirai Liga Super.

Sementara itu, MFL turut menjangkakan saingan Piala FA akan bermula pertengahan Ogos, diikuti dengan kempen Piala Malaysia dan Piala Cabaran MFL yang akan berlangsung mulai Januari tahun hadapan.

Namun begitu, MFL berdepan cabaran untuk menyusun jadual penuh musim ini berikutan ketidaktentuan tarikh kejohanan peringkat Asia.

Ini susulan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hanya akan melangsungkan undian kejohanan ACL Elite dan ACL 2 yang melibatkan penyertaan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC pada 15 Ogos nanti.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD