fb fb fb fb fb

Liga Malaysia: Selangor FC sasar kelompok dua teratas Liga


SUBANG JAYA, 4 Februari- Selangor FC kini sudah bersedia 100 peratus untuk mengharungi Liga Malaysia musim ini dengan menyasarkan kelompok dua teratas liga dan Piala Malaysia.

Perkara itu ditegaskan, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon yang yakin akan barisan pemain pasukan mampu memberikan cabaran kepada pasukan lain.

Tambah Dr. Johan, sasaran tersebut dilihat realistik walaupun The Red Giants gagal melakukannya pada saingan musim lalu.

"Kita mensasarkan kelompok dua teratas dalam Liga Super ataupun perlu memenangi Piala FA dan Piala Malaysia. Jadi fokus kami adalah untuk layak ke Piala Asia," jelasnya selepas majlis perasmian jersi kedua Selangor FC yang mendapat kerjasama TDC Holding Sdn Bhd bersempena Hari Kanser Sedunia di Subang Jaya.

Pada saingan musim lalu, skuad The Red Giants menduduki tangga kelima Liga Super, manakala terkandas di peringkat separuh akhir Piala Malaysia kepada juara, Kuala Lumpur City (KL City) FC.

Jersi kedua skuad The Red Giants musim ini diinspirasikan melalui perjalanan kapten pasukan, Brendan Gan yang berjaya bertarung melawan kanser dihidapinya Julai lalu.

Turut hadir pada majlis tersebut, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holding Sdn Bhd, Mohd Hafizuddin Hiew Abdullah.






Media Baharu