fb fb fb fb fb

Liga Malaysia 2024: Keselamatan pemain, pasukan jadi keutamaan - Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution

ALOR SETAR, 11 Mei - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan tahap keselamatan pemain serta seluruh pasukan menjadi keutamaan polis sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata sepanjang tempoh itu pemain dan pasukan tidak perlu bimbang tentang keselamatan susulan kes serangan melibatkan tiga pemain bola sepak baru-baru ini.

"Saya mengulangi gesaan yang disebut oleh Tan Sri Razarudin yang pertama ialah mengulangi komitmen pasukan polis untuk memastikan bahawa sepanjang musim bola sepak yang sudah bermula, tidak boleh ada mana-mana pasukan ataupun pemain yang merasa bimbang tentang keadaan keselamatan mereka," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Hi-Tea Aidilfitri Bersama Persatuan Solidariti Nasional Kedah, di sini.

Saingan Liga Malaysia membuka tirai hari ini selepas aksi Sumbangsih yang sepatutnya berlangsung semalam, dibatalkan.

Selain aksi PDRM FC menentang KDA FC yang berlangsung petang tadi, dua lagi perlawanan Liga-M turut dijadual malam ini iaitu Pahang FC menentang Kelantan United di Stadium Temerloh dan Terengganu FC bertemu Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN