fb fb fb fb fb

UiTM masih tiada tandingan, juarai Karnival Sukan MASUM buat kali keenam berturut-turut

Kontinjen UiTM meraikan kejayaan menjulang gelaran juara keseluruhan Karnival Sukan MASUM 2024

KUALA LUMPUR, 11 Mei- Universiti Teknologi MARA (UiTM) dinobat sebagai juara keseluruhan pada Karnival Sukan MASUM 2024 dengan kutipan pingat sebanyak 41 emas, 29 perak dan 27 gangsa secara keseluruhan merangkumi fasa 1 dan fasa 2.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan UiTM mengekalkan gelaran juara keseluruhan selama enam tahun berturut-turut.

Pengarah Pusat Sukan UiTM, Ahmad Tarmizy Mohammed berkata, kejayaan tersebut bukanlah kejutan kerana komitment yang diberikan oleh para atlet dan pengurusan yang sangat tinggi.

“Karnival Sukan MASUM 2024 pada kali ini terpaksa dianjurkan pada waktu semester bermula. Para atlet terpaksa mengorbankan masa belajar mereka demi berjuang untuk menaikkan nama UiTM.

"Komitment yang diberikan oleh atlet dan juga pengurusan amatlah memberangsangkan dengan cuaca yang tidak menentu mereka tetap meneruskan latihan. Kejayaan ini hasil daripada usaha mereka,"katanya dalam satu kenyataan.

Majlis Karnival Sukan MASUM 2024 berlangsung di Auditorium Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman.

Turut hadir, Pengerusi MASUM, Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, dan Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE