PARIS, 12 Disember - Crystal Palace terus mengukuhkan kedudukan dalam saingan UEFA Conference League selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Shelbourne pada aksi liga Khamis lalu, sekali gus mengekalkan peluang merebut slot automatik ke pusingan 16 terakhir.
Gol daripada Christantus Uche, Eddie Nketiah dan Yeremy Pino memastikan kemenangan buat skuad bimbingan Oliver Glasner, yang kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Mainz di tangga kelapan.
Palace yang hanya tewas dua kali sejak 1 November menurunkan kesebelasan kuat meskipun bakal menghadapi ujian getir menentang Manchester City pada aksi Liga Perdana hujung minggu ini.
Namun, penyerang utama Jean-Philippe Mateta diketepikan daripada senarai pemain.
Uche membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 sebelum Nketiah menggandakan kelebihan 14 minit kemudian.
Kemenangan dilengkapkan lapan minit sebelum tamat separuh masa pertama apabila Pino meledak gol ketiga, sekali gus gol ketiganya dalam kempen kali ini.
“Pujian harus diberikan kepada para pemain atas sikap mereka. Padang tidak berada dalam keadaan terbaik, ditambah pula menentang pasukan yang ingin membuktikan sesuatu, tetapi kami beraksi baik terutamanya pada separuh masa pertama,” kata Glasner.
Shelbourne, yang sekadar mengutip satu mata daripada lima perlawanan, kekal di kelompok terbawah kedudukan liga.
Palace akan menutup saingan peringkat liga dengan menerima kunjungan pasukan Finland, KuPS, Khamis depan.-AFP