fb fb fb fb fb

Salah tinggalkan tekanan Liverpool, fokus bersama Mesir di AFCON

Foto REUTERS

KAHERAH, 12 Disember - Mohamed Salah bakal meninggalkan suasana tegang di Liverpool buat sementara apabila beliau menyertai skuad kebangsaan Mesir ke Maghribi minggu depan bagi menghadapi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), susulan ketegangan terbaharunya dengan pengurus The Reds, Arne Slot.

Jurulatih Mesir, Hossam Hassan, mengesahkan kehadiran Salah dalam senarai 28 pemain yang diumumkan pada Khamis.

Kejohanan berprestij benua Afrika itu akan bermula pada 21 Disember, menyebabkan pemain berusia 33 tahun itu bakal terlepas sekurang-kurangnya dua perlawanan Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool.

Ketegangan memuncak apabila Salah sebelum ini mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam atas prestasi hambar pasukan dan menyatakan hubungannya dengan Slot semakin merosot melalui kenyataan yang dibuat selepas keputusan seri menentang Leeds United hujung minggu lalu.

Salah tidak diturunkan dalam aksi menentang Leeds serta perlawanan menentang West Ham United bulan lalu, dan turut diketepikan daripada skuad ketika kemenangan 1-0 ke atas Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu.

Bagaimanapun, Salah tetap boleh beraksi menentang Brighton & Hove Albion pada Sabtu selepas FIFA menetapkan bahawa pemain hanya perlu melapor diri kepada pasukan kebangsaan seminggu sebelum kejohanan bermula.

Ketika Mesir beraksi dalam saingan kumpulan, Liverpool bakal berdepan Tottenham Hotspur dan Wolverhampton Wanderers tanpa bintang utama mereka itu.

Selain Salah, Mesir turut memanggil penyerang Manchester City Omar Marmoush, serta bekas pemain Aston Villa yang kini beraksi bersama Al-Ahly, Mahmoud Trezeguet.

Juara tujuh kali itu akan membuka kempen menentang Zimbabwe pada 22 Disember, diikuti Afrika Selatan pada 26 Disember, sebelum menutup aksi kumpulan menentang Angola pada 29 Disember.- REUTERS

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI