Kerajaan komited percepat transformasi digital negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan delegasi kepemimpinan Huawei/Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 2 April – Kerajaan menegaskan komitmen untuk memacu agenda ekonomi MADANI melalui pendekatan kerjasama awam dan swasta yang lebih menyeluruh dan bersepadu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh kerjasama strategik sektor awam dan swasta untuk mempercepat transformasi digital negara.
  • Memperkasa pembangunan bakat digital serta memperluas peranan industri tempatan dalam ekosistem teknologi.
  • Menjamin inklusiviti dan kemampanan ekosistem digital supaya tiada rakyat terpinggir.

Komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat barisan kepimpinan Huawei ke atas Perdana Menteri diketuai Presiden Rantau Asia Pasifik, Terry He dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun, hari ini.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pertemuan tersebut membuka ruang penting untuk bertukar pandangan mengenai masa depan digital negara di samping memperkukuh hubungan kerjasama yang telah terjalin sekian lama.

Dalam pertemuan itu, tumpuan turut diberikan kepada usaha memperkasa pembangunan bakat digital serta memperluas peranan industri tempatan dalam ekosistem teknologi.

Langkah berkenaan dilihat penting bagi memastikan kemajuan teknologi dapat dimanfaatkan secara optimum oleh semua lapisan masyarakat.

Pada masa sama, usaha berterusan akan diperkukuh bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang terpinggir dalam arus perkembangan digital negara.

Kerajaan turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta dalam mempercepatkan transformasi digital negara.

Inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi kerajaan untuk membina ekosistem digital yang inklusif dan mampan.