fb fb fb fb fb

Liga Juara: Nunez mungkin diturunkan berdepan 'Los Blancos'-Klopp

(FOTO AFP)

LIVERPOOL, 21 Februari-Penyerang Liverpool, Darwin Nunez berpeluang bermain pada perlawanan bertemu Real Madrid dalam pusingan 16 Liga Juara..

Penyerang berusia 23 tahun itu dilihat meninggalkan padang pada separuh masa kedua dengan memegang bahu yang cedera ketika menentang Newcastle Sabtu lalu.

Dalam aksi di St Park itu, Nunez terlibat dalam pelanggaran dengan pertahanan Newcastle, Kieran Tripper mengakibatkan dia dikeluarkan oleh Klopp.

Pengurus 'The Reds', Jurgen Klopp dilaporkan BBC.Com berkata, penyerang Uruguay itu berada dalam keadaan baik dan mampu diturunkan pada perlawanan menentang 'Los Blancos'.

"Peluang Nunez untuk bermain tetap ada. Kita akan lihat dan pantau kecederaannya", kata pengurus berasal dari Jerman itu.

Perlawanan menentang Real Madrid merupakan pertemuan pertama kedua-dua pasukan sejak kali terakhir di perlawanan akhir Liga Juara musim 2021 menyaksikan Real Madrid menghampakan Liverpool 1-0 pada perlawanan yang diadakan di Paris.

Klopp menyatakan pertemuan itu merupakan sesuatu yang menyakitkan dirinya memandangkan pasukan bimbingannya bermain baik ketika itu.

Kekalahan itu sangat menyakitkan. Kami bermain baik dan mampu memenangi perlawanan tersebut. Mereka menjaringkan gol yang sangat penting. Mereka bijak memanfatkan peluang. Ini pengajaran terbaik yang kami belajar", ujar Klopp.

Liverpool yang masih segar dengan dua kemenangan berturut-turut sebelum ini bakal melayani kunjungan Real Madrid di Anfield.

Klopp melahirkan keyakinan terhadap skuad bimbingannya yang disifatkan menemui semula rentak kemenangan setelah bergelut dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

" Kami memenangi dua perlawanan berturut-turut. Kami berharap dapat meneruskan momentum kemenangan menentang Real Madrid", katanya.

"Kami perlu memperaga aksi terbaik menentang Real Madrid. Kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang" kata Klopp lagi.

Sementara itu, bekas Pengurus Liverpool, Rafael Benitez menyatakan pasukan berkenaan mempunyai peluang bagi mengejutkan Real Madrid pada pertemuan kali ini.

Bercakap kepada siaran radio BBC 5, Benitez menganggap Liverpool mempunyai ramuan bagi mengungguli Liga Juara musim ini.

"Masalah utama Liverpool adalah mereka mempunyai jadual perlawanan padat menentang pasukan-pasukan hebat seperti Newcastle dan Real Madrid. Persoalannya adakah mereka mampu menanganinya?" Soal Benitez.

"Sekiranya pemain-pemain utama berada dalam keadaan terbaik, mereka mampu menewaskan sesiapa sahaja", jelas Benitez lagi.

Rafael Benitez merupakan pengurus Liverpool yang berjaya membawa pasukan itu menjulang Liga Juara pada 2005. -BBC.Com


(Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp/ FOTO AFP)

Media Baharu