NEWCASTLE, 19 September - Marcus Rashford meraikan kepulangannya ke England dengan penuh bergaya apabila meledak dua gol dalam tempoh sembilan minit pada babak kedua, sekali gus membantu Barcelona menewaskan Newcastle United 2-1 dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara di St James’ Park, Khamis.
Beraksi tanpa kelibat tonggak utama Lamine Yamal, Alejandro Balde dan Gavi yang cedera, Barcelona terpaksa bertahan daripada asakan awal tuan rumah yang bermula agresif.
Penjaga gol Barcelona Joan Garcia bertindak cemerlang menafikan percubaan jarak dekat Harvey Barnes.
Namun, juara lima kali itu perlahan-lahan menguasai permainan sebelum Rashford membuka tirai jaringan pada minit ke-58.
Pemain antarabangsa England itu menanduk hantaran silang Jules Kounde dari sebelah kanan, menewaskan penjaga gol Newcastle, Nick Pope.
Rashford sekali lagi mencuri tumpuan apabila pantas menyambar bola muntah di luar kotak penalti sebelum melepaskan rembatan deras yang mengenai palang sebelum menerjah ke penjuru atas gawang.
Newcastle hanya mampu merapatkan kedudukan pada minit ke-90 menerusi Anthony Gordon yang menolak masuk hantaran Jacob Murphy, namun kebangkitan itu sudah terlewat menyekat kemenangan Barcelona. - REUTERS
