fb fb fb fb fb

Mourinho kembali ke Benfica selepas 25 tahun

Jose Mourinho dilantik sebagai pengendali kelab Portugal, Benfica / Foto REUTERS

LISBON, 19 September – Benfica pada Khamis mengumumkan pelantikan Jose Mourinho sebagai pengurus baharu kelab berkenaan.

Keputusan itu menandakan kepulangan pengurus berkenaan ke Portugal selepas 21 tahun berkelana di Eropah.

Mourinho, 62, yang pernah membimbing Real Madrid dan Manchester United, dipecat Fenerbahce pada Ogos lalu selepas Benfica menyingkirkan kelab Turki itu dalam aksi play-off Liga Juara-Juara.

Menurut kenyataan rasmi kelab, Mourinho menandatangani kontrak sehingga akhir musim 2026/27, dengan pilihan untuk ditamatkan lebih awal pada penghujung musim ini.

Benfica, juara Eropah dua kali, memecat Bruno Lage selepas kekalahan mengejut kepada Qarabag dari Azerbaijan dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara pada Selasa lalu.

Mourinho dijangka berdepan dua pertemuan semula menentang bekas kelabnya, Chelsea dalam Liga Juara-Juara pada 30 September, dan Porto dalam aksi Primeira Liga pada 5 Oktober.

“Saya datang ke Benfica pada tahap berbeza dalam kerjaya dan kehidupan saya… kita berubah menjadi lebih baik.

"Saya kini lebih mementingkan orang lain, lebih berfikir tentang apa yang boleh saya sumbangkan untuk kegembiraan orang lain. Yang penting bukan saya tetapi Benfica,” kata Mourinho pada sidang media bersama presiden kelab, Rui Costa.

Karier kejurulatihan Mourinho bermula sebagai penolong jurulatih Bobby Robson dan Louis van Gaal di Barcelona, sebelum menerima jawatan jurulatih Benfica pada September 2000.

Namun, beliau meletak jawatan selepas hanya 11 perlawanan dan seterusnya menyertai Porto, membawa kelab itu menjuarai dua kejuaraan liga berturut-turut serta Liga Juara-Juara pada 2004.

Kejayaan itu melonjakkan reputasinya dengan Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid menggunakan khidmatnya.

Namun kariernya merosot selepas menyertai Manchester United pada 2016.

Beliau kemudian mengendalikan Tottenham, Roma dan Fenerbahce.

Sepanjang kariernya, Mourinho pernah memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea, Liga Juara-Juara bersama Inter Milan pada 2010, serta La Liga bersama Real Madrid selain trofi domestik lain.

Namun sejak 2017, trofi utamanya hanyalah Liga Konferensi Eropah bersama Roma pada 2022.

Perlawanan sulung Mourinho bersama Benfica ialah menentang AVS dalam liga pada Sabtu ini.

“Sudah 25 tahun sejak saya meninggalkan Benfica, dengan peluang melatih kelab-kelab gergasi dunia. Tetapi tiada satu pun yang membuat saya lebih berbangga, lebih bertanggungjawab, dan lebih bermotivasi berbanding mengendalikan Benfica.

"Janji saya jelas. Saya akan hidup untuk Benfica, demi misi ini,” katanya.

Mourinho yakin pasukannya mampu kembali merangkul kejuaraan domestik selepas Sporting Lisbon menguasai dua musim terakhir dan Benfica kali terakhir bergelar juara pada 2023.

“Benfica ada potensi untuk menjadi juara,” tegasnya. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD