MUNICH, 18 September – Harry Kane meledak dua gol untuk membantu Bayern Munich menewaskan Chelsea 3-1 dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara di Allianz Arena, awal pagi tadi.
Bayern terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-20 selepas pemain pertahanan Chelsea, Trevoh Chalobah, tertampan bola ke gawang sendiri hasil tekanan Dayot Upamecano.
Kane kemudian menambah gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-27, sebelum Cole Palmer merapatkan jurang dua minit kemudian untuk pasukan pelawat.
Memasuki babak kedua, Chelsea banyak bergantung kepada ketangkasan penjaga gol Robert Sanchez yang menafikan percubaan Kane dan Michael Olise.
Namun, penyerang England itu sekali lagi menambah jaringan pada minit ke-63 dengan rembatan rendah untuk memastikan kemenangan selesa tuan rumah.
Kane kini mengumpul 21 gol dalam saingan Liga Juara-Juara bersama Tottenham Hotspur dan Bayern, sekali gus menyertai Cristiano Ronaldo serta Neymar sebagai tiga pemain yang menjaringkan lebih 20 gol untuk dua kelab berbeza.
Kemenangan itu melanjutkan rekod cemerlang Bayern yang menang dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara buat kali ke-22 berturut-turut, selain mengekalkan rentak tanpa kalah musim ini.
Chelsea pula mengalami kekalahan pertama mereka selepas hadir sebagai juara Piala Dunia Kelab dan tanpa kalah dalam Liga Perdana Inggeris. -REUTERS